Pada 13 Februari lalu kecoh di laman sosial mengenai beberapa penjawat awam ditangkap minum pagi dan membeli belah di waktu berkerja di bangunan Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah (SSAAS). Kini, sekali lagi kes sebegini berlaku.
Kali ini agak lain dari sebelum ini. Kakitangan awam itu kelihatan lebih berhati-hati dan peka dengan keadaan persekitaran. Beberapa kakitangan awam yang sedang menikmati sarapan pagi di sebuah restoran di sini bertempiaran lari mengikut pintu belakang sebaik sahaja melihat kenderaan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mohamed Khusrin Munawi (gambar) menghampiri premis berkenaan.
Itu antara gelagat yang dapat dilihat ketika Mohamed Khusrin mengadakan pemeriksaan mengejut ke atas premis makanan bagi ‘menangkap’ kakitangan awam yang makan dan minum bukan pada waktu rehat ditetapkan.
Menurut beliau, sejak pemantauan dilakukannya pada bulan lalu, kira-kira 100 kakitangan awam dikesan melanggar peraturan.
“Hari ini merupakan kali kedua kita menjalankan pemantauan sebegini bertujuan mendidik penjawat awam mengenai kesalahan yang mereka telah lakukan.
“Hari ini kita dapat kesan 30 kakitangan awam dan saya percaya ada ramai lagi yang berjaya meloloskan diri apabila melihat kereta saya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau menambah, setiap kakitangan awam yang ditahan akan diambil butir peribadi supaya laporan dapat dihantar kepada ketua jabatan masing-masing untuk tindakan lanjut.
“Kakitangan terbabit akan diberi kaunseling supaya mereka tahu tanggungjawab dan peraturan ditetapkan,” ujarnya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan